Monday, March 31, 2008

April Fool Mr Sivasubramaniam

1 April setiap tahun lazimnya dianggap sebagai April Fool. Secara kebetulan atau mungkin disengajakan, Sivasubramaniam (ADUN DAP Perak) menjadi orang pertama merayakan April Fool ini. Sama ada beliau tak sengaja atau berniat mahu 'memperbodohkan' rakyat Perak atau mahu menuntut sesuatu, hanya beliau yang boleh menjawabnya. Dari perspektif minda, nampak Sivasubramaniam seorang yang strategis untuk menuntut sesuatu bagi kaumnya tetapi dalam masa yang sama, minda Melayu akan tertanya-tanya sejauhmana tuntutan India harus dipenuhi setelah mereka menolak kerajaan BN? Namun, dalam senario Perak, memandangkan kerajaan Perak ditadbirurus oleh PAS bersama rakan parti yang lain, sudah pasti kehendak Siva akan cuba dipenuhi. Nampaknya kehendak ini sudah pun terjawab bukan oleh kerajaan Perak tetapi oleh DAP apabila kaum India dijanjikan dengan jawatan Speaker seperti yang dilaporkan oleh akhbar Star.

Persoalan timbul tentang bagaimana pula janji ini diberikan oleh DAP sedangkan PAS yang memerintah kerajaan negeri Perak. Siapa sebenarnya yang memerintah dan siapa yang seharusnya mempunyai otoriti untuk memberi atau menolak? Kecelaruan ini bakal mengubah minda Melayu untuk memikirkan semula keberkesanan pentadbiran Perak dan jika tidak diurus dengan baik akan kelak menjadikan April Fool muncul berkali-kali walaupun lazimnya April Fool muncul setahun sekali.

Menarik untuk kita melihat pelbagai perubahan bakal berlaku dalam minda Melayu dan menarik juga bila kita dapati UMNO sudah gagal mengesan perubahan minda ini. Lebih menarik dihari seterusnya bila kita lihat bagaimana pihak pembangkang khususnya PAS, DAP dan PKR (agak rumit mendefinisikan pembangkang kerana UMNO juga pembangkang di Kelantan, Perak, P.Pinang, Kedah dan selangor) akan bertindak yang pastinya mencorakkan persepsi dan pemikiran rakyat khususnya orang-orang Melayu. April Fool pastinya akan mendatang lagi ....

Peralihan Minda Melayu

Isnin - 31 Mac, 2008.

PRU12 memaparkan perubahan yang signifikan dalam pemikiran masyarakat Melayu. Malah tidak keterlaluan jika perubahan ini turut berlaku kepada masyarakat bukan Melayu. Untuk pertama kalinya, saya berpeluang mendengar ada di kalangan Eksekutif Cina yang menyatakan bahawa 'tidak apa' jika memberi PAS peluang memerintah beberapa negeri. Eksekutif ini juga menyatakan bahawa PKR adalah model yang baik berdasarkan visi yang dibawa. Teruja dengan pandangan ini, saya terus bertanya bagaimana jika PAS gagal menyeimbangkan kehendak dan idealisma antara PAS dengan DAP? Jawapannya ialah '.... kita tengoklah dalam masa terdekat, bagaimana tindakan PAS khususnya di Perak'. Adakah pemikiran pemimpin PAS akan berubah selaras dengan tuntutan masyarakat majmuk dan bagaimana jika pemikiran ini mempunyai piawai yang berbeza antara negeri? Eksekutif Cina ini menyatakan bahawa di Kelantan dan Kedah, suasananya tidak memberi kesan terhadap kaum mereka kerana bilangan pengundi Cina yang kecil, tetapi di Perak dan Selangor, padangnya berbeza. Apapun, nampak selesa pada pandangan eksekutif ini tentang kepimpinan PKR di Selangor. Mungkin kerana kaum Cina mendapat lebih kedudukan sebagai Exco atau PKR adalah model yang baik mengantikan konsep BN. Persoalannya bagaimana pula perasaan dan pemikiran orang Melayu? Adakah mereka berpuashati kerana Menteri Besarnya dari kalangan kaum Melayu. Apapun jawapan terhadap persoalan ini, nanti akan terungkap juga pandangan orang Melayu yang sebenar apabila tindakan demi tindakan perlu dilakukan oleh kerajaan di Selangor. Pada masa itu, orang Melayu akan menilai dan persepsi akan dicorakkan oleh tindakan kerajaan negeri dan pengaruh pandangan persekitaran.

Cabaran awal telah bermula apabila kerajaan Selangor mula dipertikaikan tindakan mengenakan levi terhadap pekerja asing. Mungkin tenaga kerja asing adalah sasaran yang baik tanpa membangkitkan kemarahan rakyat kerana mereka bukan pengundi. Akan terdapat banyak lagi pertikaian akan muncul apabila kerajaan negeri tidak dapat mengelak dari mengambil tindakan yang tidak popular disebalik tindakan awal yang berjaya memenangi hati rakyat Selangor melalui 20 meter padu air percuma yang bernilai lebih kurang RM11.06 (atau RM2.21 seorang sebulan jika terdapat 5 isirumah).