Tuesday, April 15, 2008

Hadiah Kemenangan Rakyat

Menarik untuk kita saksikan beberapa hadiah istimewa yang ditawarkan oleh kerajaan baru PKR di Selangor, DAP di Pulau Pinang, PAS di Perak, Kedah dan Kelantan.

Selangor menawarkan 20 meter padu air percuma kepada semua rakyat disamping berjuta babi ternak melalui projek penternakan babi bernilai RM100 juta (rujuk kenyataan MB Selangor di media arus perdana)

Pulau Pinang menawarkan demonstrasi percuma jika rakyat mahu menegur kerajaan pimpinan DAP disamping RM500 sebulan kepada Guru Kafa (Fardu Ain). Lim Guan Eng juga menawarkan dirinya sebagai pemimpin umat Islam Pulau Pinang dengan memetik kisah Umar Abdul Aziz dan menyertai Perarakan Maulidur Rasul (rujuk Siasah Bilangan 0093).

Kedah menawarkan jaminan food security bagi beras ketika dunia dikatakan akan menghadapi krisis makanan (rujuk Siasah Bilangan 0093).

Perak sedang berkira-kira untuk mengikut jejak Selangor untuk menawarkan air percuma tetapi belum ada keberanian menawarkan babi ternak setelah melihat betapa penatnya MB Selangor bersilat menjawab pelbagai tuduhan terhadap kerajaannya yang baru sebulan berkuasa.

Kelantan menawarkan rakyatnya kepada negeri lain (TKK - Tenaga Kerja Kelantan) untuk cari makan kerana tidak mampu menawarkan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada rakyat sendiri (rujuk ratusan ribu rakyat Kelantan yang cari makan di negeri orang lain).

Hampir semua negeri-negeri ini menawarkan berita sensasi keburukan pemerintahan terdahulu khususnya di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Dalam pada itu. Pakatan Rakyat khususnya PKR dan PAS bersungguh-sungguh menyakinkan rakyat bahawa DS Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri baru melalui undi tidak percaya atau lompatan parti atau meletakkan jawatan oleh ahli Parlimen BN. Dari sudut perundangan, ini mungkin boleh dilakukan tetapi bagaimana pula tentang etika kerana semua wakil rakyat bertanding atas parti? Adakah PAS akan mengorbankan prinsip keadilan yang diperjuangkan hanya kerana tamakkan kuasa? DAP nampak lebih beretika apabila menyatakan kemungkinan menyokong pindaan perlembagaan bagi menghalang lompat-melompat dikalangan wakil rakyat. Disini telah nampak perbezaan prinsip antara keduanya. Setidaknya DAP lebih menghormati prinsip keadilan berbanding PAS.

Menarik untuk kita lihat berita-berita tawaran ini kerana hampir semua tawaran ini dibuat di perhimpunan umum meraikan kemenangan parti pembangkang di negeri-negeri tersebut. Ironinya BN yang menguasai Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Pahang tidak pula membuat apa-apa sambutan. Mungkin perhimpunan merayakan kemenangan oleh pembangkang menjustifikasikan bahawa arus sokongan mesti dilipatgandakan sebagai persediaan menghadapi PRU13. Jika demikian, bila masa pula mereka akan bekerja untuk rakyat? Mungkin tiba masanya kerajaan-kerajaan ini mula membawa pembangunan untuk rakyat sebab saya berpandangan rakyat ternanti-nanti kebijaksanaan pemimpin membangunkan negeri. Rakyat sedia maklum kehebatan mereka berceramah sehingga mencapai standard dunia dan berharap standard pembangunan juga bertaraf dunia.

Jika ini gagal dilakukan, apakah mungkin nanti alasan akan dicari bahawa kerajaan BN gagal membawa pembangunan dinegeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang? Apabila Jambatan Kedua di Pulau Pinang sudah tiada pembiaya berpotensi dari Petronas, kita lihat nanti sama ada Lim Guan Eng berkemampuan menarik pelaburan untuk meneruskan projek tersebut. Mungkin imej Islam yang cuba di make-up pada dirinya berupaya mendapatkan pelaburan dari Timur Tengah? Bagaimana pula beliau hendak menyakinkan rakyat dengan konsep Malaysian Malaysia menggunakan make-up yang sama? Mungkin make-up opera Cina pula perlu beliau pakai apabila memperkatakan tentang kepentingan kaumnya. Nampaknya akan larislah industri kosmetik di Pulau Pinang.

Apapun tawaran yang diberikan oleh kerajaan negeri pembangkang, mentadbir negeri dengan bilangan rakyat yang mencapai jutaan manusia tidak sama dengan menguruskan syarikat. Keutamaan syarikat ialah keuntungan dan MB Selangor sememangnya cekap dalam mencari untung syarikat. Tetapi menguruskan negeri untuk kebajikan adalah dua perkara berasingan. Rakyat perlu dijaga disamping mereka yang bekerja untuk parti. DS Anwar Ibrahim lebih maklum tentang perkara ini. Sebab itulah PKR perlu bertindak segera menubuhkan Bahagian PKR dan Cawangannya diseluruh negara kerana jika ditakdirkan PRU13 diadakan semula, belum tentu pembangkang boleh menang semula dengan majoriti sedia ada lebih-lebih lagi apabila UMNO dan BN mula insaf dan sedar akan hukuman rakyat. Diketika kebanyakan negara di dunia dibalun dengan tsunami politik, BN masih berupaya mengekalkan kekuasaan. Keadaan ini pastinya sedikit sebanyak mengusarkan pembangkang dan dengan sebab itu tanpa mengira kedudukan dan etika, usaha dilaporkan dibuat untuk memujuk wakil rakyat BN menyebelahi mereka.

Apapun, jika pembangkang di 5 negeri ini kurang selesa dianggap sebagai pembangkang seperti yang disuarakan oleh MB Kedah, lebih baik mereka bertindak sebagai pemimpin kerajaan negeri dan berhenti memburukkan pihak lain lebih-lebih lagi pihak dari negeri lain yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Jadilah pemerintah yang baik. Peranan pembangkang di 5 negeri ini berikanlah kepada UMNO dan BN pula. Adakalanya menjadi pembangkang lebih menyeronokkan kerana berpeluang membalun orang lain tanpa perlu memikirkan tanggungjawab terhadap rakyat.

Sunday, April 13, 2008

Orang Melayu dan Hub Industri Babi di Selangor Darul Ehsan

Beberapa komen yang saya terima berkaitan dengan artikel saya bertajuk Demonstrasi Industri Babi di Selangor mengesahkan bahawa justifikasi akan tetap dicari bagi mengizinkan kerajan Selangor yang ditunjangi oleh PKR, DAP dan PAS untuk meneruskan projek tersebut. Ada juga justifikasi yang menggunakan nas-nas ayat Quran bagi menyatakan tindakan ini signifikan. Namun bagi mereka yang menentang projek ini pula akan terus memberi sebab kenapa projek ini perlu dibatalkan dengan memperluaskan skop perdebatan kepada isu-isu pencemaran persekitaran, sensitiviti masyarakat Melayu, kejatuhan nilai tanah dipersekitaran tapak projek yang kebanyakannya dimiliki oleh orang-orang Melayu, kesesuaian mengimpot babi dari menternak di dalam negara seperti yang dilakukan oleh Singapura, justifikasi bahawa Selangor Darul Ehsan adalah Tanah Melayu suatu ketika dulu, masalah penyakit dan lain-lain lagi. Sekiranya dibuat perbandingan, sudah pasti isu-isu kontra lebih besar dari yang menyokong projek penternakan babi ini. Namun kerajaan Selangor tetap berkeras meneruskan projek menjadikan Selangor sebagai hub industri babi.

Dalam melihat perdebatan pro dan kontra ini, kerajaan Selangor yang kini mula merasai 'manisnya' berkuasa, sedikit sebanyak berada dalam situasi sukar untuk memenangi hati rakyat terbanyak. Sebagaimana penyakit ini pernah menular kepada pemimpin UMNO (kini pembangkang di Selangor), tindakan meluluskan projek yang tidak menyentuh hati rakyat akan membawa bencana kepada kerajaan tersebut. Memang benar orang-orang Cina akan gembira dengan projek tersebut kerana babi adalah makanan mereka tetapi hati dan minda masyarakat Melayu telah mula melihat keenganan kerajaan Selangor mendapatkan pandangan rakyat mengambarkan sikap angkuh sebagaimana angkuhnya bekas pemimpin yang memberi penyapu kepada kakitangan kerajaan.

Saya percaya disebalik kegembiraan orang-orang Cina menyambut baik projek ini, sekiranya diberi pilihan untuk projek ini dipindahkan ke Kepong atau Petaling Jaya atau George Town atau Ipoh, saya yakin mereka lebih rela membayar dengan lebih banyak untuk menikmati makanan kegemaran mereka melalui babi impot dari terpaksa berdepan dengan risiko pencemaran udara, air, penyakit dan sebagainya. Pastinya mereka lebih tahu binatang ini daripada orang Melayu tetapi sebagaimana komen seorang pemimpin tempatan di Sepang, 'biasalah sejauhmana sangat orang-orang Melayu mampu membantah?.

Pemimpin-pemimpin PKR akan terus memberi bukti saintifik berkaitan kesesuaian projek ternakan babi ini, manakala orang-orang PAS sudah mengeluarkan nas-nas dan memetik petikan Quran untuk menghalalkan projek ternakan babi ini. Orang-orang DAP pula merayakan dengan babi pangang sebagaimana gambar babi pangang yang disiarkan dalam blog salah seorang wakil rakyatnya bagi meraikan saat kemenangan ini. Kita harap orang PAS tidak mengadakan kenduri kesyukuran atas terlaksananya projek penternakan babi dan serentak dengan itu bakal menjadikan Selangor hub industri babi antarabangsa.

Sebagaimana biasa, UMNO yang masih terumbang ambing dengan kecelaruan minda era tsunami politik menggunakan media perdana yang sudah tidak dipercayai rakyat untuk menyuarakan isu penternakan babi ini. Pandangan-pandangan berani dan berterus terang tentang isu semasa lebih-lebih lagi jika melibatkan pemimpin UMNO masih tidak jelas terangnya sehingga memaksa rakyat mencari berita dari sumber alternatif. Menariknya, kali ini giliran Gabungan PKR, DAP dan PAS pula bersilat apabila rakyat Sepang mula keluar ke jalan-jalan raya mengadakan demonstrasi membantah projek ini. Saya percaya lebih banyak rentak silat yang perlu dipelajari oleh kerajaan Selangor yang baru kerana mereka tidak dapat lari dari membuat keputusan sensitif dan tidak popular yang mengundang tentangan rakyat lebih-lebih lagi bila diapi-apikan oleh pembangkang baru di Selangor. Jika ini berlaku, kerajaan baru Selangor perlu redha dan menerimanya dengan hati yang terbuka kerana inilah teknologi yang diperturunkan oleh mereka kepada rakyat Malaysia.

Wednesday, April 9, 2008

Demonstrasi Industri Babi di Selangor

Akhbar Utusan Malaysia pada 10 April 2008 memaparkan tunjuk perasaan oleh penduduk Sepang terhadap cadangan kerajaan Selangor untuk meneruskan projek babi di Sepang. Kenyatan Dato' Rahman Palil menarik perhatian ramai apabila beliau menyatakan penternakan babi hendaklah dibuat di tempat orang yang makan babi. Beliau juga percaya orang yang makan babi pun tak mahu bela babi memikirkan pencemaran udara, air dan pemandangan yang tidak menyenangkan.

Kenyataan YB.Teresa Kok (DAP) pada 6 april 2008 juga menarik perhatian saya apabila beliau dilaporkan sebagai berkata: "Saya sering memberitahu ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat bahawa babi juga adalah ciptaan Tuhan" Beliau menambah "Selangor berhasrat untuk menjadi contoh terbaik kepada kerajan negeri lain dalam mengusahakan penternakan babi secara moden"

Kenyataan YB. Dr. Halimah Ali (PAS) Exco kerajaan Selangor merangkap Timb. Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat lebih menarik apabila beliau dilaporkan sebagai berkata "Kita tak de masalah, kita sokong." Masalahnya sentimen orang Melayu seolah-olah babi lebih besar dosanya daripada rasuah dan jenayah, pada hal kita tidak boleh makan sahaja, pegang boleh tapi kena samak"

Walaupun perbandingan antara babi dengan rasuah atau jenayah ada kewajarannya, namun ini mengambarkan kegagalan YB Dr.Halimah Ali membaca sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam. Babi pada orang Melayu adalah kotor. Orang Melayu merasa kurang selesa melihat babi apatah lagi memegang atau menyentuhnya. Menjadikan babi suatu industri penting di Selangor di daerah yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang-orang Melayu menjustifikasikan bahawa sensitiviti masyarakat Melayu sebagai tidak penting.

Kenyataan Halimah Ali juga mengambarkan suatu keadaan terpaksa yang dihadapi oleh PAS apabila berkongsi kuasa dengan DAP. PKR setakat ini berupaya menyeimbangkan antara kedua parti tersebut atas satu faktor iaitu ketiga-tiga parti terbesar yang membentuk Pakatan Rakyat mempunyai satu halatuju iaitu untuk mengekalkan kuasa dan membuktikan pakatan mereka relevan untuk rakyat Malaysia. Alternatif ini menuntut PAS bertolak ansur dalam banyak perkara. Tolak ansur pertama dan yang agak sukar serta menimbulkan kemarahan juga di kalangan ahlinya ialah menyokong hasrat DAP untuk membangunkan industri babi di Selangor.

Persoalan kepada rakyat Sepang yang berdemonstrasi dan yang menjadi korban atas kepercayaan bahawa menukar kerajaan adalah suatu tindakan yang betul ialah kenapa industri ini yang sebelum ini merupakan industri kecil-kecilan kini menjadi industri utama dengan pelaburan RM100 juta? Bagaimana pula kesannya terhadap industri pelancongan di Morib yang mungkin tercemar kerana najis babi pastinya akan mengalir ke laut melalui saluran anak-anak sungai? Bagaimana pula nasib pengusaha seafood di Bagan Lalang yang berada dalam daerah Sepang apabila masyarakat mempunyai persepsi bahawa terdapat pencemaran makanan laut ekoran pengaliran najis babi? Terdapat ramai pengusaha seafood di Bagan Lalang.

Menariknya untuk kita lihat nanti bagaimana kerajaan Selangor akan menguruskan persepsi rakyat Selangor kerana saya percaya sedikit sebanyak telah timbul penyesalan di kalangan rakyat Selangor apabila mereka memilih untuk mencuba dengan kerajaan baru.

Monday, April 7, 2008

Industri Babi di Selangor Darul Ehsan

Sejak beberapa hari yang lepas, akhbar arus perdana melaporkan bahawa Kerajaan Selangor dibawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim melalui Mesyuarat Exco telah meluluskan projek ternakan babi di Sepang. Beberapa hari yang lepas juga, saya telah menulis dalam blog ini bahawa Kerajaan Selangor tidak dapat mengelak dari membuat keputusan yang mengembirakan satu pihak tetapi melukakan hati pihak yang lain. Semua ini akan mencorakkan persepsi baru dikalangan rakyat khususnya rakyat Selangor. Melalui kelulusan ini, saya percaya orang-orang Melayu akan menjadi pihak yang terluka hatinya manakala orang-orang Cina akan menjadi pihak yang 'gembira'. Ini kerana babi adalah haram kepada orang Melayu tetapi makanan kepada orang Cina. Orang India di Selangor pula tidak saya pasti sama ada mereka suka dengan berita ini atau sebaliknya.

Menarik untuk kita lihat tentang bagaimana persepsi orang Melayu dan orang Cina selepas kerajaan Selangor meluluskan projek ini. Adakah orang Cina semakin sayang kepada PKR (kerana Tan Sri Khalid Ibrahim adalah calon PKR) atau mungkin juga orang Melayu mulai sedar dan berubah persepsi kerana 'tersalah pilih' wakil rakyat yang menghadiahkan najis kepada mereka. Apapun persepsi rakyat, 'babique' (istilah yang dicemarkan dari 'barbeque') akan menjadi perayaan makanan terbaru rakyat Selangor.

Seperti yang saya jelaskan, semua tindakan ini akan mencorakkan persepsi baru dikalangan rakyat. Kegagalan mengesan persepsi ini akan menyebabkan kerugian apabila tiba masanya untuk parti-parti politik berkehendakkan mandat baru daripada rakyat. Samalah seperti Barisan Nasional kehilangan begitu banyak kerusi DUN dan Parlimen apabila mereka gagal mengesan perubahan persepsi ini atau kegagalan mengambil tindakan segera bagi mengubah persepsi rakyat. Rakyat mempunyai persepsi bahawa Pak Lah adalah lemah dan ini dijustifikasikan dari anggapan bahawa semua keputusan Pak Lah dipengaruhi oleh menantunya. Persepsi ini diperkukuhkan oleh kritikan Tun Mahathir dan cakap-cakap yang dianggap benar oleh rakyat yang datang dari Pejabat Perdana Menteri, MT UMNO, Menteri-menteri dan kalangan penasihat Pak Lah sendiri. Ini ditambah dengan keberkesanan PKR, DAP dan PAS memainkan isu-isu yang menyentuh hati rakyat. Sabotaj bukanlah punca kekalahan BN tetapi kegagalan menguruskan persepsi rakyat adalah punca utama kekalahan ini. Menguruskan persepsi bukannya mudah kerana persepsi akan mempengaruhi minda manusia. Apa yang kita fikirkan datangnya dari pandangan kita terhadap sesuatu perkara.

Dalam kes industri babi di Selangor, telah terdengar suara-suara orang Melayu yang begitu sinis apabila industri babi ini diberi layanan istimewa. Babi dianggap lebih kotor disisi orang-orang Islam walaupun keduanya haram untuk dimakan atau diminum. Mungkin selepas ini, kerajaan Selangor perlu juga meluluskan lebih banyak kilang minuman keras kerana industri ini lebih ramai peminatnya dari industri babi. Atau mungkin industri babi boleh menjadi industri kecil dikalangan rakyat seperti yang diperkatakan oleh seorang wakil rakyat Selangor tentang babi yang berkeliaran di Tumpat bagi menjustifikasikan kesesuaian memberi keistimewaan untuk industri babi di Selangor.