Monday, April 7, 2008

Industri Babi di Selangor Darul Ehsan

Sejak beberapa hari yang lepas, akhbar arus perdana melaporkan bahawa Kerajaan Selangor dibawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim melalui Mesyuarat Exco telah meluluskan projek ternakan babi di Sepang. Beberapa hari yang lepas juga, saya telah menulis dalam blog ini bahawa Kerajaan Selangor tidak dapat mengelak dari membuat keputusan yang mengembirakan satu pihak tetapi melukakan hati pihak yang lain. Semua ini akan mencorakkan persepsi baru dikalangan rakyat khususnya rakyat Selangor. Melalui kelulusan ini, saya percaya orang-orang Melayu akan menjadi pihak yang terluka hatinya manakala orang-orang Cina akan menjadi pihak yang 'gembira'. Ini kerana babi adalah haram kepada orang Melayu tetapi makanan kepada orang Cina. Orang India di Selangor pula tidak saya pasti sama ada mereka suka dengan berita ini atau sebaliknya.

Menarik untuk kita lihat tentang bagaimana persepsi orang Melayu dan orang Cina selepas kerajaan Selangor meluluskan projek ini. Adakah orang Cina semakin sayang kepada PKR (kerana Tan Sri Khalid Ibrahim adalah calon PKR) atau mungkin juga orang Melayu mulai sedar dan berubah persepsi kerana 'tersalah pilih' wakil rakyat yang menghadiahkan najis kepada mereka. Apapun persepsi rakyat, 'babique' (istilah yang dicemarkan dari 'barbeque') akan menjadi perayaan makanan terbaru rakyat Selangor.

Seperti yang saya jelaskan, semua tindakan ini akan mencorakkan persepsi baru dikalangan rakyat. Kegagalan mengesan persepsi ini akan menyebabkan kerugian apabila tiba masanya untuk parti-parti politik berkehendakkan mandat baru daripada rakyat. Samalah seperti Barisan Nasional kehilangan begitu banyak kerusi DUN dan Parlimen apabila mereka gagal mengesan perubahan persepsi ini atau kegagalan mengambil tindakan segera bagi mengubah persepsi rakyat. Rakyat mempunyai persepsi bahawa Pak Lah adalah lemah dan ini dijustifikasikan dari anggapan bahawa semua keputusan Pak Lah dipengaruhi oleh menantunya. Persepsi ini diperkukuhkan oleh kritikan Tun Mahathir dan cakap-cakap yang dianggap benar oleh rakyat yang datang dari Pejabat Perdana Menteri, MT UMNO, Menteri-menteri dan kalangan penasihat Pak Lah sendiri. Ini ditambah dengan keberkesanan PKR, DAP dan PAS memainkan isu-isu yang menyentuh hati rakyat. Sabotaj bukanlah punca kekalahan BN tetapi kegagalan menguruskan persepsi rakyat adalah punca utama kekalahan ini. Menguruskan persepsi bukannya mudah kerana persepsi akan mempengaruhi minda manusia. Apa yang kita fikirkan datangnya dari pandangan kita terhadap sesuatu perkara.

Dalam kes industri babi di Selangor, telah terdengar suara-suara orang Melayu yang begitu sinis apabila industri babi ini diberi layanan istimewa. Babi dianggap lebih kotor disisi orang-orang Islam walaupun keduanya haram untuk dimakan atau diminum. Mungkin selepas ini, kerajaan Selangor perlu juga meluluskan lebih banyak kilang minuman keras kerana industri ini lebih ramai peminatnya dari industri babi. Atau mungkin industri babi boleh menjadi industri kecil dikalangan rakyat seperti yang diperkatakan oleh seorang wakil rakyat Selangor tentang babi yang berkeliaran di Tumpat bagi menjustifikasikan kesesuaian memberi keistimewaan untuk industri babi di Selangor.

No comments: