Tuesday, April 15, 2008

Hadiah Kemenangan Rakyat

Menarik untuk kita saksikan beberapa hadiah istimewa yang ditawarkan oleh kerajaan baru PKR di Selangor, DAP di Pulau Pinang, PAS di Perak, Kedah dan Kelantan.

Selangor menawarkan 20 meter padu air percuma kepada semua rakyat disamping berjuta babi ternak melalui projek penternakan babi bernilai RM100 juta (rujuk kenyataan MB Selangor di media arus perdana)

Pulau Pinang menawarkan demonstrasi percuma jika rakyat mahu menegur kerajaan pimpinan DAP disamping RM500 sebulan kepada Guru Kafa (Fardu Ain). Lim Guan Eng juga menawarkan dirinya sebagai pemimpin umat Islam Pulau Pinang dengan memetik kisah Umar Abdul Aziz dan menyertai Perarakan Maulidur Rasul (rujuk Siasah Bilangan 0093).

Kedah menawarkan jaminan food security bagi beras ketika dunia dikatakan akan menghadapi krisis makanan (rujuk Siasah Bilangan 0093).

Perak sedang berkira-kira untuk mengikut jejak Selangor untuk menawarkan air percuma tetapi belum ada keberanian menawarkan babi ternak setelah melihat betapa penatnya MB Selangor bersilat menjawab pelbagai tuduhan terhadap kerajaannya yang baru sebulan berkuasa.

Kelantan menawarkan rakyatnya kepada negeri lain (TKK - Tenaga Kerja Kelantan) untuk cari makan kerana tidak mampu menawarkan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada rakyat sendiri (rujuk ratusan ribu rakyat Kelantan yang cari makan di negeri orang lain).

Hampir semua negeri-negeri ini menawarkan berita sensasi keburukan pemerintahan terdahulu khususnya di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Dalam pada itu. Pakatan Rakyat khususnya PKR dan PAS bersungguh-sungguh menyakinkan rakyat bahawa DS Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri baru melalui undi tidak percaya atau lompatan parti atau meletakkan jawatan oleh ahli Parlimen BN. Dari sudut perundangan, ini mungkin boleh dilakukan tetapi bagaimana pula tentang etika kerana semua wakil rakyat bertanding atas parti? Adakah PAS akan mengorbankan prinsip keadilan yang diperjuangkan hanya kerana tamakkan kuasa? DAP nampak lebih beretika apabila menyatakan kemungkinan menyokong pindaan perlembagaan bagi menghalang lompat-melompat dikalangan wakil rakyat. Disini telah nampak perbezaan prinsip antara keduanya. Setidaknya DAP lebih menghormati prinsip keadilan berbanding PAS.

Menarik untuk kita lihat berita-berita tawaran ini kerana hampir semua tawaran ini dibuat di perhimpunan umum meraikan kemenangan parti pembangkang di negeri-negeri tersebut. Ironinya BN yang menguasai Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Pahang tidak pula membuat apa-apa sambutan. Mungkin perhimpunan merayakan kemenangan oleh pembangkang menjustifikasikan bahawa arus sokongan mesti dilipatgandakan sebagai persediaan menghadapi PRU13. Jika demikian, bila masa pula mereka akan bekerja untuk rakyat? Mungkin tiba masanya kerajaan-kerajaan ini mula membawa pembangunan untuk rakyat sebab saya berpandangan rakyat ternanti-nanti kebijaksanaan pemimpin membangunkan negeri. Rakyat sedia maklum kehebatan mereka berceramah sehingga mencapai standard dunia dan berharap standard pembangunan juga bertaraf dunia.

Jika ini gagal dilakukan, apakah mungkin nanti alasan akan dicari bahawa kerajaan BN gagal membawa pembangunan dinegeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang? Apabila Jambatan Kedua di Pulau Pinang sudah tiada pembiaya berpotensi dari Petronas, kita lihat nanti sama ada Lim Guan Eng berkemampuan menarik pelaburan untuk meneruskan projek tersebut. Mungkin imej Islam yang cuba di make-up pada dirinya berupaya mendapatkan pelaburan dari Timur Tengah? Bagaimana pula beliau hendak menyakinkan rakyat dengan konsep Malaysian Malaysia menggunakan make-up yang sama? Mungkin make-up opera Cina pula perlu beliau pakai apabila memperkatakan tentang kepentingan kaumnya. Nampaknya akan larislah industri kosmetik di Pulau Pinang.

Apapun tawaran yang diberikan oleh kerajaan negeri pembangkang, mentadbir negeri dengan bilangan rakyat yang mencapai jutaan manusia tidak sama dengan menguruskan syarikat. Keutamaan syarikat ialah keuntungan dan MB Selangor sememangnya cekap dalam mencari untung syarikat. Tetapi menguruskan negeri untuk kebajikan adalah dua perkara berasingan. Rakyat perlu dijaga disamping mereka yang bekerja untuk parti. DS Anwar Ibrahim lebih maklum tentang perkara ini. Sebab itulah PKR perlu bertindak segera menubuhkan Bahagian PKR dan Cawangannya diseluruh negara kerana jika ditakdirkan PRU13 diadakan semula, belum tentu pembangkang boleh menang semula dengan majoriti sedia ada lebih-lebih lagi apabila UMNO dan BN mula insaf dan sedar akan hukuman rakyat. Diketika kebanyakan negara di dunia dibalun dengan tsunami politik, BN masih berupaya mengekalkan kekuasaan. Keadaan ini pastinya sedikit sebanyak mengusarkan pembangkang dan dengan sebab itu tanpa mengira kedudukan dan etika, usaha dilaporkan dibuat untuk memujuk wakil rakyat BN menyebelahi mereka.

Apapun, jika pembangkang di 5 negeri ini kurang selesa dianggap sebagai pembangkang seperti yang disuarakan oleh MB Kedah, lebih baik mereka bertindak sebagai pemimpin kerajaan negeri dan berhenti memburukkan pihak lain lebih-lebih lagi pihak dari negeri lain yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Jadilah pemerintah yang baik. Peranan pembangkang di 5 negeri ini berikanlah kepada UMNO dan BN pula. Adakalanya menjadi pembangkang lebih menyeronokkan kerana berpeluang membalun orang lain tanpa perlu memikirkan tanggungjawab terhadap rakyat.

1 comment:

kawaii_desu said...

salam ziarah, Dr. mad

Penang? sekarang ni fasa bagi gula2... tunggu dan lihat... kakitangan yg terliat dalam demonstrasi sebelum ni dah kena transfer ke tempat2 yg didiami jin saja...

hmmm....

PAS mmg takde prinsip...
dulu BN cakap sikit soal khinzir dan keluar macam2 ayat mengutuk2 tindakan tapi bila pakatan mereka melaukannya dianggap betul pula...

PAS ni keliru... parti yg sgt keliru...